BELURU: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat turun padang meninjau keadaan mangsa kebakaran di Rumah Sain Ugang, Batu 18, Bukit Song, di sini, pada Jumaat.
Lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri keadaan mangsa serta mengenal pasti keperluan susulan insiden kebakaran yang berlaku petang Khamis sehingga memusnahkan lapan pintu rumah panjang.
Bagi meringankan beban yang ditanggung, Datuk Dr Ripin telah menyerahkan bantuan wang tunai kepada lapan ketua keluarga yang terjejas.
Sumbangan keperluan asas turut disalurkan oleh pelbagai agensi, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi, berupa bakul makanan, air, dan kit kebersihan.
Dalam usaha menyediakan penempatan sementara yang selesa, Datuk Dr Ripin mencadangkan agar kawasan sekitar dewan kecil dibersihkan segera bagi membolehkan pembinaan dua buah kanopi yang disumbangkan oleh beliau sendiri.
Bagi menjamin keselamatan dan kemudahan asas, beliau turut mengarahkan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memastikan keadaan bekalan elektrik adalah selamat, serta menyediakan sambungan elektrik sementara dari rumah berhampiran ke kawasan dewan.
Di samping itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta menyediakan kemudahan tangki simpanan air dan sambungan paip sementara untuk kegunaan di kawasan terbabit.
Datuk Dr Ripin turut mendengar laporan berhubung insiden tersebut bersama wakil agensi-agensi berkaitan dalam sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Miri Sentral, Bonny Martin Saging Mato di dewan kecil berdekatan lokasi kejadian.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Miri Bujang Rahman Seli, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supritenden Nur Asyikin Abdullah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Japar Labaw, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu serta wakil daripada JBPM, APM, JBALB dan JKM.-EDISI UKAS