KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee pada Khamis.
Delegasi tersebut turut disertai oleh Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid serta beberapa pegawai kanan universiti.
Kunjungan berkenaan bertujuan untuk menjemput Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri menghadiri Majlis Statesman’s Lecture, Book Talk & Book Launch yang akan berlangsung di UTSpada 30 Ogos 2025.
Pada majlis tersebut, dua karya penulisan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi akan dilancarkan, iaitu Teriso’s Little Star dan Silence. Teriso’s Little Star berasaskan kisah benar kehidupan beliau, yang dilahirkan di Kampung Pendam dan membesar di Teriso.
Sementara itu, Silence merupakan sebuah antologi sajak hasil kolaborasi bersama Diana Ningkan dan Yusuf Mustanir. Sebahagian besar puisi dalam antologi ini lahir daripada pengalaman serta perjalanan hidup Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.-EDISI UKAS
Foto: Astana Negeri Sarawak