LUNDU: Di persisiran Laut China Selatan, tersergam indah sebuah taman laut yang menjadi benteng terakhir bagi kelangsungan penyu di Sarawak.
Terletak di Daerah Lundu, Taman Negara Talang-Satang bukan sekadar gugusan empat pulau yang terdiri daripada Pulau Talang-Talang Besar, Talang-Talang Kecil, Satang Besar dan Satang Kecil tetapi merupakan nadi kepada usaha pemuliharaan marin negeri ini.
Dengan keluasan hampir 19,400 hektar termasuk kawasan laut dan terumbu karang, taman ini adalah pusat utama pendaratan penyu, menyumbang hampir 95 peratus daripada keseluruhan pendaratan penyu di Sarawak.
Sejak akhir 1990-an, data menunjukkan antara 2,000 hingga 3,500 ekor penyu betina terutamanya spesies penyu agar (Chelonia Mydas) dan juga penyu sisik (Eretmochelys Imbricata) bersarang setiap tahun di Taman Negara Talang-Satang serta Taman Negara Tanjung Datu.
Kedua-dua spesies ini tergolong sebagai haiwan terlindung sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan disenaraikan sebagai spesies terancam dalam IUCN Red List.
Data ini menunjukkan trend pendaratan yang positif dan mencadangkan bahawa populasi telah mencapai tahap keseimbangan dalam tempoh 20 tahun yang lalu.
Malah, data pendaratan dan kadar penetasan telur di pulau-pulau ini kekal stabil, menandakan populasi penyu di sini telah mencapai tahap keseimbangan.
Sementara itu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengambil langkah proaktif dalam menyebarkan kesedaran awam mengenai usaha pemuliharaan penyu di perairan negeri ini.
Baru-baru ini, UKAS diketuai pengarahnya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sea Turtle Conservation Project di Taman Negara Tanjung Datu dan Pulau Talang-Talang yang menjadi titik permulaan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan pemuliharaan kepada masyarakat.
Pengalaman dua hari satu malam di lokasi tersebut telah memberikan pendedahan kepada warga ukas untuk melihat sendiri kaedah pemuliharaan penyu termasuk proses penetasan telur.
Berkongsi peranan Taman Negara Talang-Satang yang menjadi surga pendaratan penyu, Warden Taman Negara Tanjung Datu dan Pulau Talang-Talang, Mohamad Dzulkhairi Eneng menjelaskan Sarawak betuah kerana mempunyai laut Samatan yang merekodkan pendaratan penyu yang paling tinggi.
Jelasnya rekod jumlah pendaratan dan sarang penyu, pada tahun ini menunjukkkan angka itu semakin bertambah jika dibandingkan pada tahun lepas.
Pada 2023, di keempat-empat pulau itu telah merekodkan lebih 2,000 sarawak dan angka itu dijangka terus bertambah pada tahun ini.
Para pakar menegaskan bahawa data yang diperolehi hanya merujuk kepada penyu betina yang datang bertelur, bukan keseluruhan populasi, maka ancaman masih tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun data kelihatan memberangsangkan, perlindungan penyu tetap berdepan dengan cabaran. ancaman semula jadi seperti biawak, ketam dan burung pemangsa, sering meragut nyawa anak penyu sebelum sempat ke laut.
Tambahan pula, faktor persekitaran seperti hakisan pantai dan perubahan suhu pasir akibat perubahan iklim boleh mempengaruhi nisbah jantina anak penyu.
Musim landas dari oktober hingga mac turut membawa cabaran lebih besar apabila tapak penetasan sering ditenggelami air.
Sebagai Langkah menyelamatkan telur daripada banjir dan hakisan, pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) memindahkan telur ke dalam tong khas untuk pengeraman, merupakan satu langkah kritikal yang kini menjadi amalan standard.

Namun, ancaman paling besar datang daripada manusia adalah pencemaran plastik yang disangka makanan oleh penyu, bunyi bising bot enjin yang mengganggu penyu betina daripada naik ke pantai, aktiviti pukat tunda dan juga aktiviti haram penjualan telur penyu.
Dalam usaha memastikan inisiatif pemuliharaan penyu berjalan lancar, pelbagai program telah dijalankan termasuk memanfaatkan teknologi moden.
Sejak 1998, tukun ‘reef balls’ dipasang di perairan Talang-Satang untuk menghalang aktiviti pukat tunda.
Keberkesanannya terbukti luar biasa dengan kes kematian penyu dewasa akibat aktiviti perikanan menurun drastik daripada lebih 100 kes setahun kepada kurang daripada 10 kes.
Kejayaan pemasangan tukun ‘reef balls’ itu bukan sahaja mengurangkan kematian penyu dewasa, malah memberi impak positif yang besar terhadap usaha konservasi penyu di Sarawak.
Langkah ini melindungi kawasan perairan penting daripada aktiviti pukat tunda, sekali gus meningkatkan peluang kelangsungan hidup penyu dan menyokong pemulihan populasi spesies ini dalam jangka panjang.
Selain itu, kajian menggunakan 'satellite telemetry' dan 'radio telemetry' membolehkan penyelidik menjejak laluan migrasi penyu, mengenal pasti kawasan mencari makan penting, serta merangka strategi perlindungan lebih menyeluruh.
Renjer dan penyelidik turut melakukan pemantauan harian, mengumpul data biologi dan ekologi untuk menambah baik pengurusan.
Keberhasilan konservasi di Talang-Satang juga bertitik tolak daripada peranan komuniti.
Penduduk tempatan dilantik sebagai Wildlife Guardian Ranger (WGR) sebagai pembantu lapangan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk membantu pemeliharaan dan pemuliharaan penyu di Taman Negara Talang Satang dan Taman Negara Tanjung Datu melalui aktiviti rondaan pantai, penjagaan ‘hatchery’ dan pelepasan anak penyu berdasarkan SOP yang dirangka oleh SFC.

Program seperti Sea Turtle Conservation Program membuka ruang untuk sukarelawan menyumbang secara langsung dalam kerja lapangan, manakala Sarawak Sea Turtle Adoption Program menggalakkan kesedaran awam melalui penyertaan simbolik “mengambil anak penyu angkat”.
Malah turut diwujudkan ialah Talang-Satang Turtle Research Working Group pada 1998 yang melibatkan Muzium Sarawak, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan.
Projek-projek besar seperti ‘reef ball’ Ssarawak dan kerjasama dengan syarikat korporat Seperti Sarawak Energy Berhad (pemasangan tenaga solar di stesen konservasi) serta Petronas-MLNG (projek eco-marine) telah memperkukuh infrastruktur pemuliharaan.

Pada 2019, hasil kerjasama dengan University of Tokyo, penyu bersarang di sini dilengkapi alat penjejakan satelit untuk memperluas data saintifik mengenai tingkah laku migrasi penyu.
Dalam masa yang sama Lembaga Pengurusan Penyu Sarawak memberi impak besar terhadap usaha pemuliharaan dengan visi menjadi peneraju dalam pemuliharaan penyu sebagai sebahagian daripada pemeliharaan warisan dan khazanah Sarawak untuk generasi akan datang.
Natijahnya, Taman Negara Talang-Satang adalah bukti nyata bahawa apabila sains, teknologi, komuniti, dan kerajaan berganding bahu, keajaiban konservasi dapat tercapai.
Ia bukan hanya habitat penyu, tetapi simbol perjuangan manusia dalam melindungi khazanah alam daripada ancaman kepupusan.
Di sinilah, setiap telur yang dipindahkan, setiap anak penyu yang dilepaskan dan setiap sukarelawan yang menghulur tenaga, semuanya menyumbang kepada satu harapan besar: agar penyu terus kembali, generasi demi generasi, ke pantai berpasir putih Talang-Satang. -EDISI UKAS