KOTA SAMARAHAN: Seramai 36 peserta Kursus Inap Desa telah berjaya menamatkan Kursus Asas Inap Desa Bil.1/2025 yang diadakan dengan jayanya di Institut Latihan Kementerian Luar Bandar (INFRA), Cawangan Samarahan pada Khamis.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula dari 19 hingga 21 Ogos 2025 itu telah menghimpunkan peserta yang datang dari pelbagai kawasan termasuk Limbang, Kuching, dan Lundu.
Program latihan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif INFRA untuk memperkasakan operator Inap Desa, terutamanya dalam memastikan pematuhan terhadap syarat pendaftaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ketua INFRA Samarahan Annie Liaw dalam ucapannya menegaskan kepentingan Kursus Asas ini sebagai syarat utama untuk menjadi operator Inap Desa yang sah di bawah seliaan MOTAC.
"Tanpa Kursus Asas dan sijil pengiktirafan daripada INFRA, permohonan untuk mendaftar sebagai operator Inap Desa tidak akan diterima oleh pihak MOTAC.
"Oleh itu, adalah sangat penting bagi semua pengusaha yang ingin beroperasi secara sah di kampung masing-masing untuk menyertai kursus ini," tegas beliau.
Tambahnya, kursus asas ini juga memberi pendedahan berkaitan sektor pelancongan desa sebagai aktiviti yang boleh menambah sumber pendapatan keluarga dan membina individu dan komuniti yang berilmu dalam menjadikan kawasan luar bandar sebagai destinasi pelancongan yang menarik sekaligus mempromosikan budaya masyarakat setempat sebagai duta kecil negara.
Antara modul yang ditawarkan sepanjang kursus termasuklah sesi ceramah pengenalan dan garis panduan program Inap Desa serta ceramah kedua yang dikendalikan oleh INFRA berkaitan 'promising', pemasaran termasuk housekeeping manakala ceramah ketiga pula memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan pengusaha serta pengunjung. -EDISI UKAS