SELANGOR: Lebih 1,000 atlet daripada operator bekalan air dari seluruh negara menyertai Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) 2025) yang membuka tirainya dengan penuh gilang gemilang di Arena MBSJ, pada Khamis.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dalam suasana penuh warna-warni yang turut diserikan dengan persembahan menarik serta perarakan kontinjen dari setiap negeri.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak merangkap Ketua Kontinjen SBAM Sarawak Ir Ts Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd Malseni Jamal.
SBAM yang berlangsung dari 21 hingga 25 Ogos 2025, merupakan acara dwi-tahunan yang menjadi platform untuk mengeratkan silaturrahim antara warga kerja industri bekalan air serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan.
Kontinjen Sarawak turut tidak ketinggalan dalam merebut kejuaraan, dengan semangat kesukanan dan azam tinggi untuk membawa pulang kejayaan yang diidam-idamkan. -EDISI UKAS