Royston Sokong Penuh Program UiTM Mukah Jelajah Aspirasi Ilmu

Disiarkan pada 22 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyatakan sokongan padu terhadap Program Jelajah Aspirasi Ilmu anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick, pada Rabu.

Program yang bermula pada Isnin lalu di SMK Three Rivers Mukah ini merupakan hasil kerjasama antara UiTM Mukah, Biro Pendidikan Mukah, dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian yang kini diteruskan di SMK St Patrick dan akan menutup tirainya di SMK Mukah.

Dengan tema ‘Say It Right: Public Speaking for Future Leaders’ dan ‘MATHgic Calculator Mode: ON’, program ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran komunikasi dan penguasaan ilmu matematik dalam kalangan pelajar dengan bimbingan pensyarah berpengalaman daripada UiTM Mukah sendiri.

Royston dalam lawatannya menyatakan penghargaan terhadap usaha murni UiTM Mukah dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam memperkasa potensi pendidikan di daerah Mukah.

Tambah beliau, kerjasama erat antara institusi pendidikan dan komuniti setempat merupakan elemen penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berketerampilan, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. -EDISI UKAS