Sukan Sekolah Bukan Sekadar Bertanding, Safiee Tekankan Peranan Sukan Bentuk Sahsiah Pelajar

Disiarkan pada 22 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi medan membentuk generasi sihat, berdisiplin dan berakhlak mulia serta berperanan untuk membentuk sahsiah pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata sukan dan kokurikulum perlu seiring dengan akademik kerana pelajar yang cemerlang bukan hanya yang bijak di bilik darjah, tetapi juga yang aktif dan seimbang dari segi fizikal, mental serta emosi.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Tahunan dan Sukan Pra-Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro 2025, di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan peranan ibu bapa sebagai tulang belakang kejayaan pendidikan anak-anak, menyarankan agar mereka terus memberikan dorongan dalam semua bidang, bukan hanya akademik semata-mata.

Dalam pada itu, Safiee turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ulu Daro, sebagai galakan dan sokongan terhadap usaha sekolah dalam menganjurkan program pembangunan sahsiah dan kokurikulum pelajar.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan dan persembahan sukaneka oleh murid pra-sekolah, menambahkan warna dalam suasana yang penuh semangat kekeluargaan dan komuniti.

Turut hadir, Guru Besar SK Ulu Daro Harfan Wahed, Yang di-Pertua PIBG Hanif On Sarkawi dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Daro Rudy Ladi. -EDISI UKAS