Projek RTP Siap Beri Manfaat Kepada Penduduk DUN Kedup

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SELASA, 2 APRIL 2024
SERIAN: Sebanyak tiga lagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup telah siap sepenuhnya dan diserahkan pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben telah hadir dan menyaksikan majlis penyerahan ketiga-tiga projek berkenaan.
Bagi projek pertama iaitu projek bina jalan perhuhungan desa Kampung Mantung Mubuk Berawan sepanjang 315 meter dengan kos RM200,000 telah bermula 27 Oktober 2023 dan siap pada 26 Mac 2024.
Manakala projek bina baharu bilik gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mapu Sadong yang dibina dengan kos sebanyak RM200,000 telah diserahkan kepada Ketua Kampung Mapu Sadong Vincent Perry Pugu.
Bagi majlis penyerahan projek kedua tersebut, Datuk Martin yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menyarankan bilik gerakan tersebut digunakan sebaiknya termasuklah mengadakan mesyuarat dan pusat tuisyen.
Tambah beliau lagi, dana kerajaan yang disalurkan melalui beliau kepada JKKK dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Seolah Kebangsaan (SK) Mapu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan dan peralatan agar apa sahaja aktiviti yang diadakan dapat berjalan dengan lancar.
Bagi projek ketiga iaitu projek membina jalan masuk ke Gereja St Mathew Kampung Mapu Tantu dengan kos pembinaan sebanyak RM150,000 telah diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak gereja.
Menurut beliau, fasa kedua projek berkenaan telah dijalankan pada awal tahun 2024 bagi menaik taraf gereja dengan peruntukan dana berjumlah RM200,000 lagi bagi pemasangan jubin, siling dan membuat penahan tebing di sebelah kiri bangunan gereja tersebut.
Hadir sama Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pengerusi Majlis Daerah Serian merangkap Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, Jurutera JKR Bahagian Serian Martina Aisan, Ahli Majlis Daerah Serian Robin Augustine Kiek, Ketua Kampung Mantung Berawan Fabian Gulu, Ketua Kampung Mapu Sadong Vincent Perry Pugu dan Ketua Kampung Mapu Tragu Akim Jandar. -EDISI UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur