KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan kepada jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhd Razali Nordin yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini hari ini.
Beliau yang juga Penaung Kelab Kebajikan Kakitangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (KBKUKAS) menyatakan bahawa inisiatif kebajikan seumpama ini adalah sebahagian daripada komitmen kelab dalam menyantuni serta menyokong kebajikan warga media, khususnya apabila mereka berdepan ujian kesihatan atau kesusahan.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang turut hadir menyatakan bahawa KBKUKAS akan terus memperkukuh peranannya sebagai 'jambatan' kebajikan bukan sahaja dalam kalangan warga UKAS, malah bersama rakan-rakan media yang banyak menyumbang dalam menyampaikan inisiatif-inisiatif serta dasar-dasar Kerajaan Sarawak kepada rakyat.
Muhd Razali kini berusia 53 tahun sudah berkhidmat lebih 30 tahun bersama Bernama dan dikenali sebagai jurugambar berpengalaman luas dan sering membuat liputan di pelbagai lokasi di seluruh negara.-EDISI UKAS