KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, melancarkan logo rasminya yang dikenali sebagai “Wings of Unity” dalam satu majlis di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sekali gus menandakan pencapaian penting menjelang permulaan operasi AirBorneo pada Januari 2026.
Logo baharu itu dengan slogan “Borneo For You” mencerminkan visi AirBorneo untuk menghubungkan Sarawak dengan dunia melalui perjalanan berlandaskan tujuan, meraikan budaya, serta menjadi jambatan antara komuniti awam dan perniagaan merentasi benua.
Identiti jenama yang dibangunkan menampilkan warna serta motif Sarawak sebagai simbol perpaduan dan kepelbagaian.
‘Wings of Unity’ diilhamkan daripada alam semula jadi dan denyut nadi budaya Sarawak yang mana rekaannya melambangkan kebebasan serta keterhubungan yang didefinisikan oleh perjalanan.
Seperti sungai, ia mencerminkan inovasi – sentiasa bergerak ke hadapan dan mencipta laluan baharu di langit.
Asasnya pula berpaksikan akar yang menjadi peringatan kepada warisan Sarawak yang membentuk penyelesaian moden, menghormati masa lalu sambil meraikan masa depan.
Keseluruhan elemen berasaskan alam ini membentuk identiti visual yang melambangkan keharmonian, ketahanan dan kemajuan iaitu nilai teras AirBorneo.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Holdings Sdn Bhd, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam kenyataan yang dikeluarkan menyifatkan logo itu sebagai lebih daripada sekadar rekaan.
Katanya, ia adalah janji untuk menghubungkan Borneo dengan dunia secara tulen, inklusif dan berteraskan tujuan, selari dengan visi Premier Sarawak untuk meningkatkan keterhubungan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kebanggaan budaya.
Menurut kenyataan itu lagi, Premier Sarawak memuji AirBorneo sebagai simbol keyakinan terhadap kedudukan Sarawak di persada global sambil menambah, syarikat penerbangan itu akan memainkan peranan penting dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), melalui pemerkasaan hubungan udara ASEAN, peluang pekerjaan, peningkatan infrastruktur, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pencapaian sasaran pertumbuhan ekonomi.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri Kabinet Kerajaan Sarawak, Timbalan-Timbalan Menteri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan dif-dif kehormat yang lain.-EDISI UKAS