BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming telah mengadakan tinjauan di Hospital Bintulu susulan aduan orang awam mengenai kerosakan lif yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, masalah itu telah menyebabkan kesulitan besar kepada pesakit, ahli keluarga mereka, serta petugas kesihatan, khususnya melibatkan warga emas dan pesakit uzur.
“Saya difahamkan bahawa kerosakan lif ini telah berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pesakit, malah turut membebankan petugas hospital yang terpaksa mengangkat pesakit secara manual ke tingkat lain. Ini berbahaya dan berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Menurut pihak hospital, kerosakan berpunca daripada ketiadaan komponen penting yang menyebabkan proses pembaikan tidak dapat dilaksanakan dengan segera.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar Jawatankuasa Pemeriksaan Hospital Bintulu mengambil serius perkara berkenaan dan terlibat secara aktif dalam menyelesaikan isu tersebut.
Beliau turut memberi jaminan akan terus berhubung dengan pihak berkaitan bagi mempercepatkan proses pembaikan demi memastikan kemudahan hospital dapat digunakan dengan lebih selesa dan selamat oleh semua pihak.-EDISI UKAS