SRI AMAN: Pesta Benak Sri Aman edisi ke-22 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 September depan dijangka mencatatkan kehadiran lebih ramai pengunjung dengan pengisian acara berwajah baharu serta beberapa penambahbaikan strategik.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata pesta tersebut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan fenomena benak di Sungai Batang Lupar yang unik dan hanya terdapat di Sri Aman.
“Antara acara utama termasuk Regatta Benak Batang Lupar, Benak Road Trail Run, Miss Tourism Benak 2025, Pentas Perpaduan, Pameran Usahawan Bumiputera, serta persembahan Angkatan Tentera Malaysia bersama komuniti.
"Kita mahu Pesta Benak terus menjadi simbol identiti dan kebanggaan masyarakat Sri Aman,” katanya ketika ditemu bual dalam program KUPPA KUPPI terbitan RTM pada Rabu.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2025, Mahra Salleh, berkata beberapa penambahbaikan strategik dilaksanakan untuk memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung.
Jelasnya, antara langkah utama termasuk penyusunan semula gerai jualan mengikut kluster, penyediaan tandas mudah alih mencukupi, jadual pembersihan lebih sistematik, serta penekanan kepada penyertaan usahawan dan IKS tempatan.
"Kita juga akan melancarkan laman sesawang dan aplikasi mudah alih rasmi Pesta Benak bagi memudahkan akses maklumat kepada pengunjung,” jelasnya.
Pegawai Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Regatta Benak Batang Lupar, Sharrif Bujang, pula menegaskan acara regatta akan terus menjadi tumpuan utama pesta, di samping mempromosikan Sungai Batang Lupar sebagai produk pelancongan berpotensi tinggi.
Majlis Soft Launching Pesta Benak 2025 akan disempurnakan oleh ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor pada 19 September, manakala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual merasmikan pesta pada 20 September.
Majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada 21 September di Pentas Utama Tebingan Sri Aman.
Dengan tema 'Terokai Keunikan dan Cabaran Fenomena Benak di Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak', pesta ini diyakini akan mengangkat Sri Aman sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi limpahan manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS