SARATOK: Sebanyak RM6.7 juta akan diperuntukkan untuk melonjakkan lagi sektor pertanian di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka yang melibatkan beberapa pelaksanaan projek pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek-projek pertanian ini dijangka memberi impak langsung kepada ratusan penduduk di kawasan tersebut.
Menerusi satu perjumpaan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pihak Jabatan Pertanian Betong/Saratok pada Khamis, beliau mendedahkan beberapa projek berskala besar telah dibentangkan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Antara projek utama termasuk pembinaan jalan pertanian tanaman padi di Tanjung Teras, Kupang (RM1 juta), jalan pertanian di Sungai Tali Paun, Seberang Pekan Roban (RM2 juta), pembinaan kilang beras di Kaba (RM2.8 juta) dan jalan-jalan pertanian lain di kawasan Kalaka (RM900,000).
Projek-projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kemudahan infrastruktur pertanian tetapi juga membuka peluang baharu dalam rantaian nilai makanan, pemprosesan hasil tani dan peningkatan hasil pendapatan petani tempatan.
Penubuhan kilang beras, khususnya, dilihat sebagai pemangkin strategik untuk memperkukuh ekosistem pengeluaran padi setempat dan mengurangkan kebergantungan kepada pemproses luar kawasan.
Selain daripada pembangunan infrastruktur, sektor pertanian turut menerima suntikan bantuan input apabila Jabatan Pertanian mengumumkan pemberian baja sawit dan lada Fasa 4 kepada 272 penerima di kawasan Kalaka, sebagai langkah langsung membantu petani mengurangkan kos pengeluaran serta menambah hasil pertanian mereka.
Hadir sama, Pegawai Daerah Saratok Mohamad Dino Amit, Pegawai Pertanian Bahagian Betong Leo Tony dan Ketua Pegawai Eksekutif BDDA Abang Mohamad Abang Turkey. -EDISI UKAS