LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) mengadakan sidang media pada Rabu bagi mempromosikan Pesta Jeti Santaba 2025 yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini di Kampung Patiambun, Limbang.
Sidang media tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi MDL, Kr Sufian Mohat bersama-sama dengan kepimpinan Majlis Daerah Limbang serta wakil media tempatan.
Menurut Kr Sufian, pesta tahunan ini mula dianjurkan pada tahun 2019 dan kembali dianjurkan buat kali ketiga pada tahun ini selepas kejayaan penganjuran tahun lalu.
Beliau berkata, lokasi Jeti Santaba Kampung Patiambun dipilih kerana keindahan semula jadi dan potensinya sebagai salah satu pusat pelancongan di Limbang.
“Tahun ini, kita telah menyusun semula konsep aktiviti supaya lebih selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), menekankan kelestarian alam sekitar sambil memberi kesedaran kepada masyarakat untuk sama-sama menjaga alam semula jadi di Limbang,” katanya.
Pesta tersebut turut menerima peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Majlis penangguhan pada 24 Ogos nanti akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Antara acara menarik yang bakal dianjurkan termasuk Pertandingan Memasak Gubahan, Pertandingan Kuih, Mengail, Tarik Kalat Bergubang, Lumba Berkayuh Gubang, Perahu Berhias serta pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pengalaman unik River Cruise menyelusuri sungai di kawasan paya bakau.
Pada sebelah malam pula, acara akan dimeriahkan dengan Pertandingan Bermukun yang mengekalkan tradisi masyarakat setempat.
“Majlis Daerah Limbang menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung termasuk dari negara jiran Brunei untuk memeriahkan pesta pada tahun ini,” tambah beliau.
Selain Pesta Jeti Santaba, MDL turut menganjurkan dua lagi acara utama setiap tahun iaitu Pesta Lumpur Bebuak dan Pesta Hari Bukit Mas, yang kini dimasukkan dalam Kalender Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang.-EDISI UKAS