LUNDU: Kerajaan Sarawak melalui Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) meneruskan komitmennya mempercepat pembangunan kemudahan asas luar bandar dengan melaksanakan Projek Penurapan Jalan Rumah ke Rumah Fasa 2 di DUN Opar bernilai RM10.6 juta.
Program penyerahan tapak projek yang melibatkan tiga lokasi iaitu di Kampung Biawak, Kampung Serayan Hulu dan Kampung Raso 1 telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di sini pada Rabu.
Menurut Billy, projek tersebut akan memberi impak besar kepada penduduk dengan menyediakan akses jalan lebih selesa, selamat dan berdaya tahan.
“Akses jalan yang baik bukan sahaja menyelesaikan isu asas mobiliti, malah meningkatkan aktiviti ekonomi setempat serta taraf hidup masyarakat,” katanya.
Daripada jumlah keseluruhan, RM3 juta diperuntukkan untuk Jalan Biawak, RM3 juta bagi Jalan Bau–Lundu dan RM4.6 juta untuk Jalan Lundu–Sematan.
Beliau turut menegaskan keutamaan pembangunan di N1 Opar akan terus memberi fokus kepada kemudahan asas, di samping menggesa kontraktor melaksanakan projek dengan amanah dan berkualiti demi manfaat jangka panjang komuniti.
Sejak 38 bulan lalu, sebanyak 111 projek telah dilaksanakan di kawasan itu melalui dana GKCDA, mencerminkan usaha pantas dan berfokus dalam pembangunan luar bandar.-EDISI UKAS