PRO-DR Roadshow 2025 Singgah Siburan, SK Taba Sait Terima Makmal Mini T&T

Disiarkan pada 21 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Sekolah Kebangsaan Taba Sait di Skim Penempatan Semula Bengoh kini menjadi sekolah kedua dalam kawasan DUN Mambong yang dilengkapi dengan Makmal Mini Think & Tinker (T&T).

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr. Jerip Susil mengumumkan sumbangan peralatan bernilai RM15,000 yang itu sempena Majlis Perasmian Project of Dreams Realised (PRO-DR) Roadshow 2025 di sini, pada Rabu.

Datuk Dr. Jerip, yang juga ADUN Mambong serta Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, menegaskan pendidikan merupakan tonggak utama pembangunan negeri, terutama dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

“Melanjutkan pengajian bukan sekadar untuk pekerjaan, tetapi untuk melengkapkan diri menghadapi cabaran dunia yang kompleks. Pendidikan adalah pasport untuk masa depan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama lebih 30 institusi dan agensi yang berganding bahu menjayakan PRO-DR, serta menyarankan program berimpak tinggi itu diperluaskan ke kawasan lain termasuk Padawan.

Majlis berkenaan disertai lebih 500 pelajar bersama ibu bapa, pemimpin komuniti, pegawai kerajaan dan wakil agensi pendidikan. Turut hadir Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari.

PRO-DR 2025 bukan sahaja mengetengahkan peluang pendidikan dan kerjaya, malah menawarkan pelbagai pengisian termasuk temu duga terbuka, pameran STEM dan inovasi, bengkel kreatif, cabaran e-sukan, ceramah motivasi dan Career Exploration Program (CEP).

Sejak diperkenalkan pada 2015, siri PRO-DR anjuran TEGAS telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS