Kerjasama Jepun-Sarawak Perkukuh Usaha Konservasi Orang Utan

Disiarkan pada 21 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Usaha Sarawak memelihara habitat orang utan mendapat sokongan padu daripada komuniti antarabangsa khususnya Jepun.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, Penyelaras Negeri Sarawak bagi Persatuan Malaysia–Jepun Sarawak, Kazue Sakai telah lebih 40 tahun menzahirkan mesej pemuliharaan melalui karya seni bertemakan orang utan di samping membawa pelajar, penyelidik dan usahawan Jepun ke Sarawak untuk menanam pokok serta menyokong usaha konservasi.

“Kerjasama seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran global, malah mempromosikan Sarawak sebagai destinasi penyelidikan dan ekopelancongan,” jelasnya pada Majlis Penyerahan Lukisan Minyak Orang Utan di Wisma Sumber Alam, pada Khamis.

Beliau berkata, populasi orang utan di Sarawak kini dianggarkan sekitar 2,500 ekor, jauh lebih kecil berbanding Sabah dan Kalimantan, namun program konservasi di Semenggoh Nature Reserve telah menunjukkan hasil positif dengan banyak kelahiran anak orang utan direkodkan.

“Pendekatan di Semenggoh unik kerana orang utan dibiarkan hidup bebas tanpa campur tangan manusia, berbeza dengan pusat konservasi lain,” ujarnya.

Datuk Len Talif menegaskan, pemeliharaan biodiversiti Sarawak perlu diteruskan melalui penglibatan komuniti tempatan, agensi kerajaan dan rakan kerjasama antarabangsa agar flora dan fauna terus dilindungi untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS