Pembangunan Infrastruktur Sarawak Ambil Kira Kelestarian Alam Sekitar

Disiarkan pada 21 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pembangunan infrastruktur di Sarawak sentiasa dirancang dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar, khususnya pemeliharaan habitat orang utan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, contoh jelas ialah pembinaan Jalan Trunk Kedua yang melalui Taman Negara Ulu Sebuyau yang dilaksanakan secara jejambat (elevated highway).

“Langkah ini bukan sahaja memastikan ekosistem tidak terjejas, malah membolehkan kawasan taman negara kekal sebagai Totally Protected Area (TPA),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lukisan Minyak Orang Utan di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai empat kawasan TPA yang diwartakan sebagai habitat orang utan, iaitu Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Ulu Sebuyau, Taman Negara Sedilu serta Sanctuary Hidupan Liar Lanjak-Entimau yang bersempadan dengan Kalimantan.

Jelasnya lagi, pendekatan ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS