Projek Berimpak Tinggi Transformasikan Pembangunan Sarikei

Disiarkan pada 21 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi telah mentransformasikan Bahagian Sarikei menjadi salah satu wilayah di Sarawak yang semakin progresif dari sudut pembangunan dan ekonominya.

Mengambil contoh pembinaan Jambatan Batang Rajang, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, prasarana hebat itu bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan antara kawasan-kawasan sepanjang Sungai Rajang, malah turut memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi rakyat Sarawak khususnya penduduk Parlimen Sarikei.

Kata Ahli Parlimen Sarikei itu, jambatan sepanjang 1.4 kilometer yang dibina dengan kos RM321 juta itu menjadi lambang kesungguhan kerajaan negeri dalam memajukan kawasan luar bandar.

“Projek ini amat bermakna buat saya secara peribadi, kerana ianya merupakan antara perjuangan utama saya sejak diberi amanah sebagai wakil rakyat Parlimen Sarikei.

“Jambatan Batang Rajang kini menjadi simbol kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Premier, dalam membawa Sarawak, menuju masa depan yang lebih maju, inklusif dan sejahtera,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual ekslusif bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Khidmat beliau baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau amat berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah merealisasikan impian penduduk di situ untuk menikmati kemudahan asas yang sekian lama dinantikan itu.

Untuk rekod, Jambatan Batang Rajang yang dirasmikan pada 17 Mei 2025 telah dijenamakan sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman.

Menurut Dato Sri Huang lagi, Kerajaan juga akan melaksanakan, beberapa projek pembangunan utama yang merangkumi infrastruktur, kemudahan awam serta peningkatan ekonomi setempat seperti peningkatan infrastruktur jalan raya di kawasan bandar dan luar bandar.

Ini termasuk projek menaik taraf jalan-jalan kampung dan rumah panjang, termasuk pembinaan sistem perparitan yang lebih baik untuk mengurangkan risiko banjir, katanya.

Selain itu tambah beliau, projek pembangunan Tebingan Sungai Sarikei yang akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) secara berfasa akan menjadi tarikan baharu pelancongan dan pusat aktiviti komuniti di Sarikei kelak.

“Semua projek ini adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat Sarikei kerana dasar YAB Premier kita amat mementingkan kemajuan di kawasan luar bandar.

“Beliau mahu melihat jurang pembangunan dan kemajuan di kawasan bandar dan luar bandar dikurangkan agar semua rakyat Sarawak dapat menikmati kemakmuran ekonomi seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030,” tambahnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu lagi.

Sehubungan itu, Dato Sri Huang mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari demi kestabilan politik negeri ini agar segala perancangan pembangunan di Sarawak khasnya di Sarikei dapat diteruskan untuk manfaat semua rakyat.

“Dengan visi jauh YAB Premier dan perancangan holistik, kerajaan negeri, saya yakin Sarikei akan berubah, dari daerah terpencil, menjadi antara pusat ekonomi utama di wilayah tengah Sarawak yang akan menyumbang kepada pembangunan negeri ini,” katanya lagi.

Di akhir ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak khasnya di Sarikei untuk meraikan Hari Kebangsaan dengan jiwa merdeka dan semangat patriotik.

Tegasnya, selain sambutan Hari Sarawak dan Hari Malaysia yang turut diraikan di sini, sambutan Hari Kebangsaan tetap penting sebagai medium untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini, bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI. - EDISI UKAS