KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan berangkat menyempurnakan Jamuan Makan Malam Menteri sempena Forum Undang-Undang ASEAN (ASEAN Law Forum) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Rabu.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Datuk Patinggi Fauziah disambut oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Malaysia, Dato’ Seri Azalina Othman Said, diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar.
Sebagai simbolik perasmian, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memukul gong sebanyak tiga kali, menandakan bermulanya majlis berprestij yang menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada pakar undang-undang, hakim, peguam dan cendekiawan serantau.
Selesai jamuan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Datuk Patinggi Fauziah dan Dato’ Seri Azalina turut menyempurnakan aktiviti mewarna batik bertulisan ASEAN sebelum menghadiri sesi santai menikmati buah durian di Sky Garden, Tingkat 6 KLCC.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, Yang Dipertua Dewan Negara, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah,?Presiden Mahkamah Rayuan, Dato’ Abu Bakar Jais, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Tan Sri Hasnah Dato’ Mohamed Hashim serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Dato’ Hajah Azizah Nawawi.
Turut serta, para Menteri dan Timbalan Menteri Undang-Undang negara-negara ASEAN termasuk Timor Leste.
Dalam ucapan ringkasnya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menzahirkan harapan agar Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos menjadi platform merumuskan resolusi bersama dalam menghadapi cabaran baharu perundangan termasuk berkaitan teknologi, alam sekitar dan hak asasi manusia.
Beliau yakin forum ini menyerlahkan komitmen Malaysia dalam mempromosikan kedaulatan undang-undang sekali gus memperkukuh kerjasama perundangan di rantau ASEAN.-EDISI UKAS