KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus membuktikan keberkesanannya sebagai pemacu kesejahteraan rakyat Sarawak dengan pelbagai pencapaian penting sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kejayaan pelaksanaan dasar dan program kementerian serta agensi di bawahnya jelas menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan wanita, kanak-kanak, keluarga dan warga emas.
“Sejak diperkenalkan pada 2019, Endowment Fund Sarawak (EFS) telah membuka lebih 139,000 akaun untuk bayi yang baru lahir dengan peruntukan mencecah RM139 juta, manakala Bantuan Ibu Bersalin (BIB) telah memberi manfaat kepada lebih 87,000 penerima dengan jumlah bantuan melebihi RM39 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini pada Rabu.
Jelasnya, Program Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang bermula pada 2023 pula membantu meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan sederhana dan rendah, melibatkan 185 institusi pendidikan awal kanak-kanak dengan peruntukan RM2.5 juta sehingga kini.
Selain itu katanya, Geran Tahunan Khas 2025 bernilai RM10.58 juta telah disalurkan kepada lebih 2,000 institusi di seluruh Sarawak bagi memperkukuh kualiti pendidikan awal.
"Dalam aspek kebajikan, Program Sejambak Kasih berjaya menyalurkan lebih RM5.6 juta kepada penerima bantuan bersempena lima perayaan utama, sekali gus memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan ketika musim perayaan.
"Pada masa sama, Kenyalang Gold Card (KGC) yang diwujudkan khusus untuk warga emas semakin meluas manfaatnya dengan lebih 333,000 kad dicetak sehingga Julai lalu, termasuk kemudahan Bantuan Ihsan Kematian berjumlah RM70.7 juta sejak 2020," ujarnya.
Tambah beliau, KPWK melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) turut menunjukkan impak besar dalam memperkasa wanita, antaranya melalui Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) yang memberi modal perniagaan kepada hampir 1,900 wanita.
Jelas Dato Sri Fatimah, kejayaan inisiatif ini diiktiraf di peringkat kebangsaan apabila dianugerahkan Projek Silver sempena Kongres Social Synergy 2025 di Kuala Lumpur.
Majlis Pembangunan Sosial (MPS) juga mencatat prestasi membanggakan apabila melaksanakan lebih 600 siri intervensi sosial sepanjang 2024, termasuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menangani isu masyarakat.
Pada majlis itu, seramai 41 warga kementerian dan agensi diraikan atas kecemerlangan masing-masing, termasuk lapan penerima daripada KPWK, 27 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan enam dari JWKS.
Majlis turut menghargai jasa tiga pegawai yang bersara serta dua pegawai yang berpindah ke jabatan lain.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Pengarah Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) Salmah Jobeli dan tetamu yang hadir.-EDISI UKAS