KUCHING: Kerjasama strategik antara Yayasan Sarawak dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dapat memperkukuhkan usaha dalam memastikan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak sampai kepada masyarakat.
Menyambut baik kerjasama berkenaan, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin berkata UKAS telah memainkan peranan penting membantu Yayasan Sarawak dalam mempromosi pelbagai program anjuran pihaknya.
Katanya, usaha dilaksanakan oleh Yayasan Sarawak adalah selaras dengan seruan kepimpinan negeri untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang dapat memacu Sarawak mencapai visi muncul negeri maju menjelang tahun 2030.
"Pendidikan merupakan perkara yang amat dititiberatkan oleh masyarakat.
“Keperluan untuk melahirkan modal insan sangat penting. Justeru dalam hal ini, Yayasan Sarawak membantu dengan memberi bantuan kepada anak-anak kita melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau bercakap demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi UKAS yang diketuai Pengarahnya Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Ibu Pejabat Yayasan Sarawak di sini pada Rabu.
Tegasnya, peranan dimainkan UKAS dalam menghebahkan pelbagai inisiatif kerajaan negeri khususnya pelaksanaan pendidikan percuma yang akan bermula pada tahun depan amatlah penting.
Datu Mohamad Junaidi menambah, kerjasama pihak UKAS juga sangat diperlukan bagi memastikan apa yang dilaksanakan oleh pihaknya diketahui masyarakat di luar bandar.
Bagi memastikan inisiatif berkenaan sampai kepada kumpulan sasar, Yayasan Sarawak katanya juga kerap turun ke kawasan pedalaman untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan. - EDISI UKAS