DUN Sarawak Mantapkan Kesiapsiagaan Kebakaran Melalui Kursus Asas Tiga Hari

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Usaha memperkukuh tahap keselamatan kebakaran di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diperkasa menerusi penganjuran Kursus Asas Keselamatan Kebakaran yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 Ogos lalu.

Majlis penutupan kursus tersebut telah disempurnakan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar di Bangunan DUN pada Rabu.

Program berkenaan menghimpunkan kakitangan DUN Sarawak, wakil Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak serta kontraktor yang bertugas di bangunan itu.

Ia memberi penekanan kepada latihan teori, praktikal dan simulasi teknikal merangkumi teknik pemadaman api, prosedur pengosongan bangunan, kawad kebombaan serta aspek keselamatan am.

Latihan dikendalikan oleh pegawai berpengalaman dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dengan objektif memastikan warga kerja DUN lebih bersedia menghadapi insiden kecemasan.

Turut hadir menyaksikan sesi latihan dan penutupan ialah Setiausaha DUN Sarawak, Nur Azhar Bujang bersama pegawai bomba serta kakitangan yang terlibat.

Kursus ini diharap dapat memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan warga kerja DUN Sarawak dalam memastikan keselamatan premis serta penghuninya sentiasa terjamin.-EDISI UKAS