Task Force Ditubuh Tangani Isu Kecurian dan Vandalisme Utiliti di Simunjan

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Pejabat Daerah Simunjan menubuhkan Jawatankuasa Task Force Pembendungan Jenayah Vandalisme atau Kecurian Kemudahan Utiliti sebagai langkah menangani peningkatan kes kecurian kabel, transformer dan vandalisme di daerah ini.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Isu Sosial Daerah Simunjan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Sanuyah Mohamad, di Pejabat Daerah Simunjan, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri 60 wakil termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pelbagai agensi kerajaan.

Sanuyah berkata, penubuhan jawatankuasa itu menjadi platform penyelarasan strategik antara agensi dan komuniti akar umbi bagi memastikan masalah dapat ditangani segera.

“Kerjasama semua pihak amat penting kerana isu ini memberi kesan langsung kepada kelancaran bekalan utiliti serta keselamatan masyarakat,” jelasnya.

Dalam mesyuarat tersebut, SEB membentangkan laporan kerugian akibat kecurian kabel dan transformer yang menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna, manakala Ketua Polis Daerah menjelaskan tindakan siasatan dan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

Penglibatan KMKK turut dipandang penting kerana mereka berperanan menyalurkan maklumat awal serta membantu pemantauan di kawasan masing-masing.

Mesyuarat berakhir dengan perbincangan isu keselamatan lain serta cadangan memperkukuh mekanisme pemantauan di lokasi berisiko.-EDISI UKAS