KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir tanah, malah menjadi pemudah cara utama dalam memastikan kelancaran pelaksanaan agenda pembangunan strategik wilayah ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan, kecekapan JTS amat kritikal dalam menyokong pelbagai projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“JTS amat penting, bukan sahaja sebagai pentadbir tanah, tetapi juga pemudah cara pembangunan negeri.
“Jabatan ini memastikan pembangunan strategik Sarawak seperti pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik dapat disiapkan mengikut spesifikasi serta dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat sempena Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HITS) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak 2025, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menekankan, aktiviti pengukuran dan pengambilan balik tanah oleh JTS mesti terus diperkasa agar jabatan pelaksana lain dapat memulakan projek fizikal tepat pada masanya, sekali gus mengelakkan kelewatan pembangunan.
“Justeru, kecekapan JTS Sarawak dalam aktiviti pengukuran dan pengambilan balik tanah perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Kecekapan ini amat kritikal bagi menyokong jabatan pelaksana lain dalam memastikan semua projek fizikal yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dapat dimulakan tepat pada masanya serta dilaksanakan dengan lancar,” jelasnya.
Beliau menambah, JTS tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana rakyat semakin menuntut perkhidmatan yang cepat, cekap dan mesra.
“Inovasi bukan hanya mencipta sistem baharu, tetapi juga melibatkan penambahbaikan proses kerja, mempercepatkan kelulusan, mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS