KUCHING: Penjawat awam di Sarawak diingatkan agar sentiasa mengekalkan nilai integriti dan semangat berpasukan dalam melaksanakan tugas demi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan serta menjadi tunjang pembangunan wilayah.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, integriti bukan sahaja berkait rapat dengan isu rasuah atau pecah amanah, tetapi juga merangkumi hubungan baik sesama rakan sekerja, pemimpin dan pasukan kerja.
“Apabila niat kita bekerja hanya untuk mengejar pengiktirafan, pujian atau pangkat, maka lahirlah budaya negatif seperti ampu, mengumpat, menikam dari belakang serta memecahbelahkan pasukan dan budaya ini amat berbahaya dalam perkhidmatan awam,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat sempena Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HITS) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak 2025, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Beliau menegaskan, penjawat awam perlu bekerja dalam satu pasukan yang bersatu padu dan menolak pembahagian kumpulan kecil dalam jabatan kerana hanya dengan kerjasama erat, penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan.
“Semua ini menuntut setiap anggota perkhidmatan awam, termasuk Jabatan Tanah dan Survei, untuk meningkatkan ilmu serta kompetensi agar jabatan kekal relevan dan berfungsi sebagai teras pembangunan Sarawak,” ujarnya
Dalam majlis berkenaan, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 100 orang kakitangan JTS daripada cawangan Kuching, Kota Samarahan dan Serian.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS