KUCHING: Sarawak terus memperkukuh ekosistem pendidikan awal melalui penubuhan Sedidik Centre of Excellence (ScoE), sebuah pusat rintis yang menggabungkan pendekatan holistik dalam pembangunan bakat, teknologi dan ekspresi kreatif kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata ScoE bukan sekadar tadika, sebaliknya platform strategik untuk melahirkan generasi muda Sarawak yang lebih yakin, berbakat dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Antara program berimpak tinggi yang dijalankan di ScoE termasuk Young Orators yang melatih kanak-kanak seawal usia enam tahun dalam pengucapan awam melalui kerjasama dengan Toastmasters Club.
“Kita bukan sahaja melahirkan orator muda, tetapi membentuk generasi muda yang berani bersuara dan yakin dengan diri sendiri,” ujar beliau ketika lawatan rasmi ke ScoE Kuching.
Program Penulis Muda pula telah menghasilkan lebih 523 buah buku asli yang ditulis dan dilukis oleh kanak-kanak dari tujuh bahagian negeri dengan sokongan Singapore Book Council.
“Setiap anak Sarawak berhak mendapat ruang dan peluang untuk menyerlahkan bakat mereka. Oleh itu, ScoE adalah platform untuk menjadikan impian itu satu kenyataan,” tegas beliau.
Guru-guru turut dilatih sebagai penerbit bagi menjadikan penerbitan karya kanak-kanak sebagai salah satu penanda aras pencapaian tahunan.
Selain itu, ScoE juga menekankan pembangunan fizikal dan seni melalui aktiviti Kinder Music, Kinder Gym dan Kinder Martial Arts yang membina koordinasi motorik serta keyakinan diri.
Dari sudut teknologi, ScoE memperkenalkan program Kids Bits and Bytes dengan kerjasama Rothschneider Foundation bagi mendedahkan kanak-kanak seawal usia empat tahun kepada asas pengaturcaraan komputer secara interaktif.
Program ini bakal diperkaya dengan modul kecerdasan buatan (AI) sebagai fasa seterusnya dalam agenda pendidikan digital awal.
Seiring dengan minat generasi muda terhadap dunia visual, Dato Sri Fatimah turut mencadangkan agar bidang fotografi diperkenalkan di ScoE sebagai saluran ekspresi kreatif baharu.
ScoE Kuching kini dijadikan model rintis untuk diperluas ke pusat-pusat Tadika Sedidik di seluruh Sarawak melalui pendekatan bergilir di bahagian lain.
Menurutnya lagi, langkah ini diyakini mampu memberi peluang sama rata kepada setiap anak Sarawak untuk menyerlahkan potensi mereka sejak usia muda.-EDISI UKAS