Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Sarawak Ketengah Kemajuan Negeri Dalam Malaysia

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Bintulu bakal menampilkan pencapaian dan kemajuan negeri ini sejak menyertai Malaysia, dengan memberi fokus kepada pembangunan pesat di Bintulu sebagai kluster perindustrian baharu bertemakan 'Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia'.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan bakal bermula dari 14 September dengan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disusuli dengan Majlis Kesyukuran yang diadakan di Masjid Assyakirin pada 15 September.

Manakala pada pagi 16 September akan diadakan Larian Hari Malaysia, disusuli dengan acara kemuncak sambutan yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Lama Bintulu dengan jangkaan kehadiran sekitar 10,000 orang pada sebelah malam.

"Sambutan ini akan menjadi wadah untuk mempamerkan pembangunan Sarawak secara menyeluruh iaitu masa lalu, masa kini dan masa hadapan.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada Bintulu sebagai kluster perindustrian baharu, yang turut diumumkan dalam Forum Ekonomi Dunia.

"Oleh itu, kita amat menantikan sambutan Hari Malaysia 2025 di Sarawak, yang akan memperlihatkan pencapaian penting negeri ini, khususnya di Bintulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada Rabu.

Tambahnya, sambutan tersebut juga akan menekankan pembangunan perumahan dan kawasan perindustrian seperti di Samalaju termasuk kawasan baharu seperti Jepak Jaya yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan di bandar Bintulu.

Dato Sri Dr Stephen Rundi memberitahu Premier Sarawak telah bersetuju dengan pengisian program yang disusun.

Tambahnya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan hadir sebagai tetamu kehormat bersama Premier Sarawak dan barisan pemimpin negeri yang lain.

"Kami kini sedang melakukan sentuhan akhir terhadap semua program yang telah disusun. Kami juga telah menyediakan sebuah video yang memaparkan pembangunan Sarawak, khususnya di Bintulu dan juga di bandar-bandar lain di negeri ini.

"Melalui paparan tersebut, kita ingin menunjukkan bagaimana Sarawak telah mendapat manfaat sejak menyertai Malaysia. Itulah sebabnya tema sambutan kali ini ialah ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’," ujarnya.

Turut hadir dalam sesi sidang media, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti dan Pengarah Unit Protokol, Istiadat Dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini. -EDISI UKAS