SCoE Jadi Hab Pencungkil Bakat Kanak-Kanak Sarawak

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: SeDidik Centre of Excellence (SCoE) Talent Hub di Jalan Kulas di sini dijangka menjadi hab sehenti dalam mencungkil dan mengasah bakat kanak-kanak Sarawak menerusi pelbagai program holistik yang dirangka khusus untuk golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Fatimah Abdullah berkata, melalui pelaksanaan pusat berkenaan, SeDidik berpotensi muncul sebagai pusat pendidikan terkemuka dengan menyediakan peluang pembangunan menyeluruh agar kanak-kanak bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dengan sokongan dan kerjasama strategik pelbagai pihak, kita dapat melaksanakan program inovatif dan berstrategi yang akan meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak sekali gus memperkukuh peranan SeDidik dalam komuniti,” katanya semasa berucap di majlis berkenaan di sini pada Rabu.

SCoE Talent Hub menawarkan pelbagai program termasuk Kinder Music, Kinder Gym, Kinder Martial Arts, dan Kinder Culture & Arts selain memperkenalkan inisiatif baharu seperti Young Orator dan Young Writer yang memberi penekanan kepada pembangunan keyakinan diri, kemahiran berbahasa serta kreativiti kanak-kanak.

Inisiatif Young Orator dijalankan dengan kerjasama Toastmasters Club melibatkan siri bengkel komunikasi dan kepimpinan, manakala Young Writer pula mendapat sokongan Singapore Book Council (SBC) yang berjaya menghimpunkan lebih 170 peserta dari seluruh zon untuk menonjolkan bakat penulisan mereka.

Selain itu, SCoE juga berjaya mendaftarkan diri sebagai penerbit dengan Perpustakaan Negara Malaysia menerusi kerjasama Sinaran Ilmu Learning & Consultancy, yang membolehkan karya penulisan kanak-kanak diterbitkan secara rasmi.

Program-program yang dijalankan ini menekankan kepentingan pembelajaran menyeronokkan melalui aktiviti fizikal, muzik, seni dan budaya bagi melahirkan generasi kanak-kanak yang kreatif, berdisiplin dan sihat.-EDISI UKAS