Ekspedisi Hutan Simpan Simunjan 2025 Angkat Kepentingan Pemuliharaan Hutan Paya Gambut

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Simunjan 2025 bukan sahaja menjadi platform penyelidikan biodiversiti, malah turut menegaskan kepentingan memelihara ekosistem hutan paya gambut yang semakin terancam.

Dengan tema “Biodiversity Resilience: The Hidden Wonders of the Peat Swamp Forest”, ekspedisi berprestij anjuran Jabatan Hutan Sarawak itu menghimpunkan lebih 120 peserta terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, pegawai teknikal dan pelajar dari pelbagai institusi.

Sebanyak 23 kajian saintifik telah dibentangkan meliputi pelbagai bidang termasuk mamalia, burung, amfibia, invertebrata, flora, buaya, kualiti air serta kaedah terkini seperti camera trapping dan environmental DNA (eDNA).

Antara agensi terlibat ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Natural Resources and Environment Board (NREB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang hadir dalam program pembentangan kajian di Dewan Kampung Kelka malam tadi berkata, dapatan kajian tersebut amat signifikan dalam merangka strategi pemuliharaan dan pengurusan hutan secara lestari.

“Pengetahuan saintifik ini penting bukan sahaja sebagai rujukan akademik, tetapi juga sebagai asas kepada dasar pemuliharaan hutan paya gambut pada masa depan,” katanya.

Pembentangan hasil kajian itu turut mencatat beberapa penemuan baharu yang berpotensi dikembangkan melalui penyelidikan lanjutan.

Hasil ekspedisi dijangka menjadi sumber utama dalam usaha melindungi keunikan ekosistem Hutan Simpan Simunjan.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS Profesor Dr Faisal Ali Anwarilkhan, Ketua Seksyen Konservasi Jabatan Hutan Sarawak Dayang Nuriza Abang Abdillah serta Ketua Unit Pedologi Jabatan Hutan Sarawak Halipah Bujang.-EDISI UKAS