BAU: Pembinaan fasa pertama Arena Sukan Bau kini mencapai 94 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata projek bernilai RM7.99 juta itu mula dilaksanakan pada Oktober 2023 di bawah peruntukan Projek Rakyat.
Menurutnya, arena tersebut akan dilengkapi dengan tiga gelanggang futsal, enam gelanggang badminton, gelanggang Muay Thai, gim terbuka serta sebuah dewan serbaguna berkapasiti 600 orang.
Kemudahan lain termasuk pejabat pentadbiran, 118 petak parkir kereta termasuk untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan 118 petak parkir motosikal.
Beliau yang meninjau projek berkenaan di Tapak Sports Arena, Bau pada Selasa turut mendedahkan cadangan fasa kedua melibatkan pembinaan rumah kelab, kolam renang mini, restoran dan bar sebagai ruang komuniti yang kondusif untuk pelbagai aktiviti keluarga.
“Cadangan ini akan dipanjangkan untuk kelulusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi.
Arena Sukan Bau dijangka menjadi mercu tanda baharu daerah ini sekali gus menjadi pusat aktiviti sukan dan rekreasi moden bagi masyarakat setempat.-EDISI UKAS