RM9 Juta Pusat Kebudayaan Bidayuh Dijangka Siap Disember 2025

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Projek pembinaan Pusat Kebudayaan Bidayuh bernilai RM9 juta di bawah peruntukan Projek Rakyat dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, pusat berkenaan bakal menjadi mercu tanda baharu di Bau, selain berfungsi sebagai pusat konvensyen mini milik Pertubuhan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

“Terletak di Jalan Jambusan dengan keluasan 1.27 ekar, pusat itu dilengkapi dewan serbaguna berkapasiti 1,000 tetamu, ruang penyediaan makanan, bilik menunggu, lobi, fasiliti kemudahan serta galeri pameran di tingkat bawah.

Tingkat satu pula menempatkan galeri pameran kedua, bilik majlis dan sebuah baruk sebagai identiti budaya masyarakat Bidayuh,”katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan di sini pada Selasa.

Menurut Dato Henry, pembinaan pusat tersebut penting bagi menyediakan fasiliti moden untuk masyarakat, memandangkan ruang sedia ada di Bau masih terhad untuk menganjurkan pelbagai acara kebudayaan dan sosial.-EDISI UKAS