SRI AMAN: Sri Aman berpotensi dipilih sebagai salah satu venue acara tinju sempena Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penganjuran kejohanan berprestij itu membuktikan Sri Aman mempunyai kemudahan sukan serta sokongan komuniti yang kuat untuk menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja melahirkan bakat baharu, malah memberi pendedahan kepada atlet tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman di sini pada Selasa.
Kejohanan itu menghimpunkan 123 petinju tempatan dan antarabangsa dari Singapura, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
Pertandingan lima hari yang berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos itu membabitkan 34 pasukan dalam tiga kategori iaitu Junior (42 peserta), SUKMA (29 peserta) dan Elite (52 peserta).
Datuk Francis turut menyeru masyarakat, khususnya anak muda luar bandar, agar terus memberi sokongan kepada Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dalam memartabatkan sukan tinju.
Majlis perasmian turut dihadiri ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Presiden SABA, Dato’ Rahman Lariwoo; serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.-EDISI UKAS