Mantapkan Penggunaan Bahasa Inggeris

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kelas Bahasa Inggeris di sini, dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa berkenaan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kelas ini nanti akan mengajar peserta yang berminat mengukuhkan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris dari aspek perbualan, pendengaran dan penulisan.

Pada penganjuran pertama kelas berkenaan, seramai 15 peserta telah mendaftar untuk mempelajari Bahasa Inggeris dalam suasana santai serta interaktif.

“Peserta memberikan maklum balas yang positif di mana ramai menyatakan sesi ini sangat praktikal dan mudah difahami. Mereka juga menantikan kelas seterusnya untuk terus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya ditemui baru-baru ini.

Kelas berikutnya dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos (Jumaat) dari jam 7 malam hingga 8.30 malam di Ibu Pejabat SUPP Sibu, Tingkat 2 di Kampung Datu, di sini.-EDISI UKAS