RIMUP Platform Penting Pupuk Perpaduan & Modal Insan Berkualiti

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pelaksanaan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di sekolah rendah seluruh Sarawak disifatkan sebagai platform penting dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kerjasama dalam kalangan murid berbilang kaum dan latar belakang.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara murid, guru dan masyarakat setempat, malah turut membantu melahirkan generasi berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kita perlu bekerjasama, kita perlu perpaduan yang erat. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dididik dengan baik, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga disiplin dan sahsiah diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Inspirasi Harmoni Bersama Pemimpin di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tellingai, Suai, di sini pada Selasa.

Dalam ucapan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan sebagai teras kepada kemajuan negeri.

Jelasnya, penekanan terhadap pendidikan berkualiti dan pembentukan sahsiah pelajar perlu diutamakan agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat negara.

Beliau juga mengimbas kembali transformasi SK Batu Tellingai sepanjang lima penggal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat dan menyifatkan kerjasama erat antara ibu bapa, pihak sekolah dan murid sebagai pemangkin kepada kejayaan yang berterusan.

“Kejayaan adalah pencapaian yang mudah dicapai, namun mengekalkan kejayaan secara berterusan bukanlah perkara yang mudah,” ujarnya lagi.

Disamping itu, Dato Sri Dr. Stephen turut berkongsi inisiatif Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan menawarkan yuran percuma bagi kemasukan ke universiti milik kerajaan Sarawak bermula 2026.

Inisiatif ini tegasnya, satu peluang besar kepada anak-anak Bumi Kenyalang untuk melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang teknikal serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang mempunyai nilai kebolehpasaran tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau penglibatan anak-anak dalam aktiviti sekolah dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial.

“Saya berharap PIBG dan ibu bapa sentiasa memberi sokongan kepada pihak sekolah demi memastikan anak-anak kita terus berjaya dan menjadi aset negeri pada masa akan datang,” katanya mengakhiri ucapan.

Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Allu, Guru Besar SK Batu Tellingai Bakir Jatan serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Batu Tellingai Tuai Rumah Bakom Ligong.-EDISI UKAS