Projek Naik Taraf Jalan & Loji Air Bersih Bario Dipantau

Disiarkan pada 20 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BARIO: Bekalan air bersih yang selamat serta rangkaian jalan raya yang baik adalah keperluan asas yang menjadi kunci kepada kesejahteraan rakyat luar bandar, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Beliau berkata, jalan yang dinaik taraf bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka peluang ekonomi, mempercepatkan akses kepada pendidikan serta memperkukuh perkhidmatan kesihatan.

“Begitu juga dengan pembinaan loji air bersih, ia merupakan hak asas yang perlu diberi keutamaan. Kita berbangga apabila usaha ini semakin menjadi kenyataan bagi penduduk kawasan ini,” katanya.

Datuk Gerawat berkata demikian semasa menyertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, dalam lawatan pemantauan projek pembangunan di Bario melibatkan kampung Pa Mada, Pa Dalih, Ramudu dan Batu Patong pada Selasa.

Lawatan tersebut meninjau kemajuan projek naik taraf jalan balak serta pembinaan loji air bersih yang dilaksanakan Highland Development Agency (HDA) di bawah penyelarasan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Ia turut memberi peluang kepada agensi kerajaan, kontraktor dan pemimpin komuniti untuk menilai keberkesanan pelaksanaan projek agar berjalan lancar mengikut jadual.

Datuk Gerawat turut merakamkan penghargaan kepada RECODA dan HDA atas komitmen berterusan dalam memperkasa infrastruktur pedalaman Sarawak.

Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, projek berkenaan dapat disiapkan dengan jayanya dan memberi impak besar kepada penduduk dalam jangka masa panjang.-EDISI UKAS