Sarawak Kaji Teknologi Penternakan Khinzir Moden Di Denmark

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DENMARK: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) telah mengadakan lawatan rasmi ke Denmark dari 8 hingga 17 Ogos 2025 bagi meninjau teknologi penternakan moden dan peluang pelaburan dalam industri khinzir.

Lawatan yang diketuai Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah melawat beberapa syarikat dan institusi terkemuka termasuk Big Dutchmen yang membekalkan kelengkapan serta peralatan pemprosesan makanan haiwan, Danish Food and Veterinary Council yang mengawal pergerakan ternakan khinzir, Ibu Pejabat DanBred selaku syarikat pembiak baka khinzir terbesar di Denmark, serta Techocollege yang menawarkan latihan dalam bidang penyembelihan khinzir.

Delegasi turut meninjau operasi Danish Finest Chicken yang memproses ayam halal dan Danish Crown di Horsens, iaitu rumah sembelih serta loji pemprosesan khinzir termoden di Eropah.

Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari teknologi terkini penyembelihan, amalan terbaik dalam industri ternakan, serta strategi pencegahan penyakit seperti Demam Babi Afrika (ASF) dan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Delegasi juga diberi pendedahan mengenai teknologi robotik dan inovasi dalam pembiakbakaan khinzir yang diamalkan di Denmark.

Denmark merupakan antara negara pengeluar daging khinzir terbesar di Eropah dengan populasi ternakan mencecah 11.45 juta ekor pada tahun 2024, menyumbang 30 peratus kepada sektor pertaniannya.

Negara itu mengeksport 90 peratus daripada pengeluaran ke 140 buah negara termasuk Jerman dan Poland.

Melalui lawatan ini, Sarawak berhasrat merangka strategi pembangunan industri ternakan khinzir yang lebih mampan serta menarik pelaburan baharu, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai ‘net food exporter’ menjelang 2030.

Setakat ini, Sarawak telah mengeksport sebanyak 122,400 ekor khinzir hidup bernilai RM197.6 juta ke Singapura, dan dengan operasi penuh tiga syarikat pengeluar utama, nilai eksport dijangka mencecah RM1 bilion menjelang tahun 2030.

Turut serta, Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Martin Ben, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi, Pengurus Besar SLDB Profesor Dr Harry Entebang, Pengarah UPM Sarawak Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini, Ketua Bahagian Polisi M-FICORD David Branch Ambor, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr William Rovina Nating. -EDISI UKAS