KUCHING: Sarawak terus menonjolkan keunikan kepelbagaian budaya sebagai aset penting dalam memacu industri pelancongan dan memperkukuh identiti bangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepelbagaian lebih 40 kumpulan sub etnik yang wujud di Sarawak bukan sahaja membentuk sebuah negeri yang aman dan harmoni, malah menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Sepanjang berada di Kuching, saya menyeru para peserta untuk mendekati khazanah budaya tempatan sama ada melalui makanan tradisional, persembahan seni, interaksi dengan masyarakat atau lawatan ke tapak bersejarah.
“Saya yakin pengalaman ini akan memberikan kefahaman mendalam mengenai erti hidup dalam kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Aspirasi Warisan 2025 yang diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada Selasa, bersempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa 2025 yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara.
Beliau turut mengingatkan generasi muda agar terus menghargai dan memelihara warisan kebudayaan tempatan sebagai cerminan jati diri bangsa di sebalik cabaran globalisasi yang semakin mencabar.
“Pengaruh budaya luar sangat cepat meresap ke dalam jiwa anak-anak kita. Namun, generasi muda perlu tampil sebagai pewaris amanah, memastikan seni, bahasa, adat dan budaya terus malar segar dalam sanubari,” tegasnya.
Dato Sri Abdul Karim dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada penganjur dan peserta persidangan kerana telah mewujudkan platform perkongsian ilmu serta memperkukuh kerjasama antara pakar bidang di peringkat serantau dan global.
“Saya berharap persidangan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat, inovasi yang lebih kreatif, serta pencapaian ilmu yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” tambah beliau.-EDISI UKAS