123 Peserta Sertai Kejohanan Tinju Sarawak Open 2025

Posted on 19 Aug 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Kejohanan Tinju Sarawak Open 2025 membuka gelanggang dengan penyertaan seramai 123 peserta mewakili 34 pasukan dari dalam dan luar negara, menjadikannya antara penganjuran paling berprestij di rantau ini.

Tiga kategori utama dipertandingkan pada edisi kali ini, iaitu Kategori Junior dengan 42 peserta, Kategori Sukma Age melibatkan 29 peserta (19 lelaki, 10 wanita), serta Kategori Elite yang menghimpunkan 52 peserta (47 lelaki, 5 wanita).

Dari segi penyertaan pasukan, 15 pasukan bersaing dalam kategori Elite, 9 pasukan dalam kategori Sukma Age, manakala 10 pasukan mengisi saingan Junior.

Lebih menarik, kejohanan ini turut disertai peserta antarabangsa dari Kalimantan, Indonesia dan Singapura, sekaligus mengangkat Sarawak Open Boxing Championship sebagai medan persaingan bertaraf serantau.

Sebanyak 14 perlawanan dijadualkan berlangsung esok sebagai pembuka gelanggang rasmi, dengan pertembungan menarik dijangka mencuri tumpuan peminat sukan tinju tempatan.

Sarawak Open Boxing Championship bukan sahaja medan pertandingan, tetapi juga platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu serta memberi peluang atlet membuat persiapan awal menjelang kejohanan lebih besar termasuk SUKMA dan peringkat kebangsaan.-EDISI UKAS