Projek Gantian Penuh SMK Lake Siap Januari 2026

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Projek Pembinaan gantian penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake, Bau kini mencapai kemajuan 63.45 peratus setakat 15 Ogos 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Januari 2026.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, walaupun sedikit lewat berbanding jadual asal, kelewatan itu tidak menjejaskan keseluruhan pelaksanaan projek.

“Projek ini sepatutnya siap pada 15 Disember 2025, namun dilanjutkan melalui Extension of Time (EOT) selama 41 hari disebabkan faktor tapak.

"Bau merupakan kawasan batu kapur dengan banyak rongga (cavity), selain penemuan batu asas yang berbeza daripada jangkaan awal. Ini menyukarkan kerja-kerja pembinaan, tetapi bukan kelewatan besar,” jelasnya semasa ditemui pemberita selepas membuat lawatan di sini, pada Selasa.

Dengan kos kontrak melebihi RM79 juta, projek yang dilaksanakan oleh Eden Empire Development Sdn. Bhd itu merangkumi pembinaan 42 bilik darjah, asrama berkapasiti 300 pelajar (200 lelaki, 100 perempuan), blok pentadbiran, dewan makan, surau dan pelbagai kemudahan sokongan lain.

Dato Henry menegaskan, projek ini amat penting bagi menyediakan suasana pembelajaran lebih kondusif kepada warga SMK Lake.

Beliau turut memberi jaminan akan terus memantau rapat perkembangan projek agar manfaatnya dapat dirasai masyarakat setempat, khususnya dalam meningkatkan pembangunan pendidikan di kawasan Tasik Biru.-EDISI UKAS