Sebahagian Besar Tuntutan Sabah, Sarawak Berkaitan Pendidikan & Kesihatan Dipersetujui

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


PUTRAJAYA: Sebahagian besar daripada tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung isu pendidikan dan kesihatan telah dipersetujui bersama kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara yang dipersetujui bagi isu pendidikan termasuk penglibatan Sabah dan Sarawak dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan serta penyaluran peruntukan bagi program pembangunan profesional.

Manakala bagi isu kesihatan katanya, sebahagian besar tuntutan kedua negeri juga telah dipersetujui, antaranya peningkatan kepada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan, kuasa autonomi kepada Pengarah Kesihatan Negeri dalam beberapa perkara dan pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi perkara yang tidak dipersetujui, ia akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi isu tuntutan pendidikan.

“Manakala, bagi perkara yang tidak dipersetujui untuk tuntutan kesihatan akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tambahnya, tuntutan-tuntutan lain yang masih belum selesai akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan jawatankuasa kerja berkaitan di bawah kementerian-kementerian yang berkaitan.

Difahamkan, tuntutan ini dipersetujui dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 kali kedua bagi tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Dato Sri Fadillah.

Menurut beliau, mesyuarat ini penting bagi persiapan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak pada 12 September kelak.

Hadir dalam mesyuarat tersebut, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan daripada kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak. -EDISI UKAS