Kerajaan Sarawak Sokong Pembinaan Semula Sekolah Cina

Disiarkan pada 30 May 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kerajaan Sarawak amat menyokong pembinaan semula sekolah Cina bagi mengatasi masalah sekolah usang di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menyatakan ‘Tabung Pendidikan Sekolah Cina Sarawak’ yang ditubuhkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kini menumpukan kepada isu memberi keutamaan kepada pembinaan semula dan penempatan semula sekolah Cina.

“Banyak sekolah Cina di Sarawak menghadapi masalah sekolah yang usang dan memerlukan pembinaan semula.

“Sesetengah sekolah Cina mungkin terpaksa berpindah ke bandar untuk pembinaan semula kerana masalah dengan sumber pelajar dan ini adalah isu yang mesti diutamakan dan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Sekolah Chiau Nan di Taman Tunku pada petang Rabu ini.

Katanya, tabung pendidikan berkaitan menerima peruntukan RM12 juta setiap tahun bagi Sekolah Bantuan Cina, dan hanya RM10 juta bagi Sekolah Persendirian Cina diperuntukkan yang diselaraskan oleh Persatuan Lembaga Pengarah Sarawak khas untuk pembinaan sekolah Cina.

Selain itu, Datuk Amar Dr Sim menambah, apabila masalah pembinaan semula dan penempatan semula sekolah usang diselesaikan, unit pendidikan tersebut akan meneliti semula cara memperuntukkan pembiayaan tahunan kepada sekolah yang memerlukan.

Pada lawatan tersebut, Datuk Amar Dr Sim mewakili Kerajaan Sarawak telah menyerahkan cek sumbangan kepada Jawatankuasa Pemindahan SJK Chiaw Nan berjumlah RM1,000,000 bagi pembinaan blok baru bilik darjah.

Untuk rekod, lokasi asal Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chiaw Nan Miri adalah di Marudi dan dipindahkan ke Bandaraya Miri kerana berdepan masalah kekurangan pelajar.

Seramai 120 orang pelajar telah berdaftar dan pembukaan sekolah bermula pada Julai 2024.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan,  Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Pujut Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS