552 Kes Keganasan Rumah Tangga Dilaporkan Di Sarawak Tahun 2024

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak 552 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di Sarawak pada tahun 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan peningkatan membimbangkan sebanyak 75 kes untuk tahun 2024, berbanding 477 kes pada tahun 2023.

"Kalau kita pecahkan lagi, apabila dilihat mengikut jantina, bagi lelaki pada tahun 2023 terdapat 178 kes, manakala pada tahun 2024 jumlah itu meningkat sedikit kepada 181 kes.

"Sementara itu, bagi wanita pada tahun 2023 terdapat 287 kes dan angka tersebut meningkat dengan ketara kepada 371 kes pada tahun 2024.

"Itulah pecahan terperinci yang menunjukkan dengan jelas bahawa kes keganasan rumah tangga telah meningkat dari tahun 2023 ke tahun 2024.

"Keadaan ini membuktikan bahawa keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, jantina, pendapatan atau latar belakang," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dalam Majlis Penutupan Program 'Breaking The Silence: Violence Prevention' in Sarawak di sini pada Selasa.

Justeru, Dato Sri Fatimah mengesyorkan kerajaan Sarawak komited dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui pelbagai inisiatif utama.

Ujarnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk program “Know Your Rights” di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai undang-undang serta sokongan berkaitan keganasan rumah tangga.

Selain itu tambahnya, One Stop Crisis Centre (OSCC) di semua jabatan kecemasan hospital di Sarawak menyediakan rawatan perubatan, bantuan polis, dan sokongan psikososial dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

"Jabatan Bantuan Guaman Sarawak pula menawarkan khidmat bantuan guaman untuk mendapatkan perintah perlindungan, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perlindungan sementara untuk mangsa serta menguruskan proses berkaitan perintah perlindungan," jelasnya. -EDISI UKAS