DARO: Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menaik taraf keselesaan masyarakat luar bandar melalui perancangan serta pelaksanaan projek infrastruktur asas bukanlah sekadar retorik politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menegaskan, daripada jumlah perbelanjaan pembangunan Sarawak sebanyak RM10.9 bilion pada tahun 2025, sebanyak RM6.8 bilion atau 62 peratus telah diperuntukkan khusus untuk pembangunan luar bandar.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak kini sedang giat melaksanakan pembinaan 10 jambatan utama di kawasan pesisir dengan kos keseluruhan RM3.81 bilion, dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Mengulas kritikan pihak tertentu yang mendakwa hasil pendapatan tinggi kerajaan tidak memberi manfaat kepada rakyat, beliau menyifatkannya sebagai pandangan yang ‘cetek pengetahuan’ mengenai Sarawak.
“Kebijaksanaan kepimpinan Sarawak bukan sahaja meningkatkan hasil pendapatan kerajaan, malah turut disusuli agenda pembangunan infrastruktur yang pesat, khususnya di luar bandar,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas tentang status pembangunan luar bandar secara am di Sarawak pada Selasa.
Datuk Abdullah sebelum itu menyerahkan Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM831,000 kepada 20 penerima tempatan yang terdiri daripada pelbagai entiti komuniti termasuk Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah panjang, jawatankuasa masjid dan surau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Tabika pada Selasa.
Daripada jumlah keseluruhan dana tersebut, sebanyak RM778,000 disalurkan kepada 10 JKKK kampung untuk melaksanakan projek-projek kecil seperti membaik pulih jalan kampung, menaik taraf jeti dan membina kemudahan tandas awam manakala baki dana pula digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan dan pembelian kelengkapan rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu juga menegaskan keperluan pengurusan kewangan JKKK yang berhemah dan memastikan setiap projek dijalankan mengikut spesifikasi seperti dalam permohonan mereka.
Tambah beliau, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk pendidikan percuma dan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bernilai RM450 juta yang disalurkan secara tanpa tunai melalui Sarawak Pay, bagi membantu rakyat mendapatkan keperluan asas harian. -EDISI UKAS