Sarawak Perkukuh Usaha Pemuliharaan Orang Utan

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) terus memperkukuh komitmen jangka panjang dalam melindungi Orang Utan Borneo (Pongo pygmaeus pygmaeus) serta memelihara biodiversiti negeri ini.

Sempena Sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa 2025 di Pusat Hidupan Liar Semenggoh pada Selasa, Sarawak menekankan inisiatif baharu, kerjasama strategik dan pendekatan berasaskan komuniti yang berjaya mengekalkan populasi orang utan pada tahap stabil.

Majlis pelancaran sambutan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SFC, Datuk Len Talif Salleh, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sambutan yang berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran rasmi, kempen digital interaktif, program bersama sekolah, pertandingan fotografi alam semula jadi serta majlis penutup dengan ikrar pemuliharaan.

“Orang utan adalah simbol khazanah alam Sarawak. Kelangsungannya bergantung kepada usaha bersama yang merangkumi dasar kerajaan, penyelidikan saintifik dan sokongan komuniti tempatan,” ujar Datuk Len dalam ucapannya.

Beliau menegaskan, meskipun terdapat cabaran kos tinggi dan kekangan tenaga kerja di kawasan pedalaman, pendekatan bersepadu Sarawak yang menggabungkan perlindungan habitat, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama saintifik serta penglibatan komuniti, memastikan negeri ini kekal sebagai peneraju global dalam pemuliharaan orang utan.

Menurut beliau, usaha ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadikan pemuliharaan orang utan sebagai salah satu tonggak penting dalam agenda biodiversiti jangka panjang dan pelancongan lestari Sarawak.

SFC dalam kenyataannya memaklumkan, daripada sasaran sejuta hektar Kawasan Perlindungan Penuh (TPA), sebanyak 234,335 hektar telah diwartakan khusus untuk pemuliharaan orang utan, iaitu hampir suku daripada jumlah keseluruhan.

Antara kawasan utama ialah Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary & Extension (182,983 ha), Taman Negara Batang Ai & Extension (26,159 ha), Taman Negara Sedilu (6,311 ha), Taman Negara Ulu Sebuyau (18,287 ha) dan Taman Negara Gunung Lesong (595 ha).

Kawasan ini menampung hampir 2,000 ekor orang utan liar dengan 95 peratus daripadanya berada di Lanjak Entimau dan Batang Ai.

Selain perlindungan habitat, SFC turut menguruskan Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Matang yang kini menempatkan 48 ekor orang utan.-EDISI UKAS