Pengecualian Dasar Kabotaj Dibatal Untuk Kapal Kargo Dari Pelabuhan Sarawak

Disiarkan pada 30 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pengecualian dasar kabotaj dibatalkan bagi semua kapal yang mengangkut kargo dari pelabuhan-pelabuhan di Sarawak ke mana-mana pelabuhan di Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah serta sebaliknya, berkuatkuasa 1 Jun ini.
 
Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu, keputusan tersebut dibuat atas permintaan kerajaan Sarawak, yang mana warta berkaitan perkara ini telah ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
 
Dalam pada itu, beliau juga telah menandatangani satu warta yang akan berkuatkuasa pada tarikh sama, dengan tujuan menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur teknologi internet di Malaysia.
 
Jelas kenyataan tersebut, dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 65U Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, beliau telah mengecualikan semua kapal pemasangan kabel yang terlibat dala pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan kabel telekomunikasi bawah laut yang mendarat di pusat-pusat pendaratan kabel bawah laut di perairan Malaysia daripada dasar kabotaj di bawah subseksyen 65KA(1) ordinan tersebut.
 
“Sejak 2020, syarikat teknologi Malaysia dan antarabangsa telah menyuarakan keperluan agar kerajaan mewujudkan rangka kawal selia progresif yang boleh menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi.
 
“Kerajaan Perpaduan komited dalam memacu pembangunan infrastruktur digital negara,” ujar Anthony Loke menerusi kenyataan tersebut. -EDISI UKAS