Kempen “Jum Jaga Pan Borneo Bait-bait” Seru Tanggungjawab Bersama

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin telah melancarkan Kempen Kesedaran Menjaga Kebersihan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di P-turn Batu 19, dengan seruan agar rakyat menjadikan tanggungjawab menjaga kebersihan lebuh raya itu sebagai amanah bersama.

Menurut beliau, Pan Borneo bukan sekadar jalan raya, tetapi simbol kemajuan yang menjadi nadi pembangunan, penyatu rakyat serta pemacu ekonomi negeri.

“Kita di Sarawak bertuah menikmati Pan Borneo tanpa tol, tetapi ini juga bermakna tanggungjawab kita lebih besar untuk menjaga aset ini agar terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Dato’ Seri Alexander menegaskan, sampah yang dibuang merata-rata bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, kempen “Jum Jaga Pan Borneo Bait-bait” digerakkan melalui pelbagai program termasuk gotong-royong komuniti, taklimat kebersihan di sekolah, serta inisiatif ‘Overhead Pedestrian Bridge Angkat’ dengan kerjasama Pan Borneo Highway Asset Management Sdn Bhd.

Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang sedia ada akan dilaksanakan dengan lebih tegas, selain menambah kemudahan tong sampah di sepanjang jajaran lebuh raya.

“Mulakan dengan diri sendiri, jangan tunggu orang lain. Jadikan Pan Borneo sebagai kebanggaan kita, bersih, selesa dan selamat untuk semua,” tegasnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato’ Majang Renggi; ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming; serta Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok.-EDISI UKAS