Bangunan Baharu SAA Sediakan Spektrum Perkhidmatan Menyeluruh Untuk Anak-Anak Berkeperluan Khas

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Anak-anak berkeperluan khas, khususnya individu dengan autisme, kini bakal mendapat akses kepada kemudahan yang lebih komprehensif dan moden dengan siapnya bangunan baharu Persatuan Autistik Sibu (SAA).

Bangunan tersebut, yang dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk bilik terapi, ruang intervensi khas dan kemudahan latihan vokasional, dijangka akan memainkan peranan penting dalam pembangunan holistik anak-anak ini ke arah kehidupan yang berdikari dan bermaruah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata bangunan baharu ini merupakan manifestasi kesungguhan SAA dalam menyediakan spektrum perkhidmatan yang hampir menyeluruh bagi menyokong keperluan anak-anak autistik dan keluarga mereka.

“Di bangunan baharu ini akan ada 10 bilik untuk aktiviti terapi, ruang luas untuk terapi fizikal, termasuk kemudahan ‘snow room’ dan ‘snoezelen’. Selain itu, latihan vokasional juga akan disediakan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyiapan Struktur Bumbung, di sini, pada Isnin.

Beliau menekankan bahawa penyediaan fasiliti ini selari dengan pendekatan menyeluruh bermula daripada penilaian awal, intervensi, pendidikan kendiri, sehingga kepada pembangunan kemahiran vokasional.

“Kita mahu anak-anak ini dibimbing dari awal – bermula dengan diagnosis oleh pakar pediatrik seawal umur enam tahun, diikuti intervensi bersesuaian, dan seterusnya latihan kendiri serta kemahiran kerja,” tambahnya.

Menurut Dato’ Sri Fatimah, matlamat utama adalah untuk melahirkan individu berkeperluan khas yang berdikari, mempunyai kemahiran menjana pendapatan sendiri, dan mampu menjalani kehidupan dengan maruah, tanpa bergantung sepenuhnya kepada belas kasihan masyarakat.

Selain menumpukan kepada pembangunan anak-anak autistik, fasiliti baharu ini turut menyediakan bilik latihan dan mesyuarat khas untuk ibu bapa, selaras dengan keperluan sokongan psikososial kepada penjaga.

“Tingkah laku mencabar seperti memukul kepala atau menjatuhkan diri boleh mengelirukan orang ramai. Tapi melalui latihan dan taklimat, ibu bapa akan lebih bersedia mengurus keadaan ini dengan baik,” jelasnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying, Pengerusi SCSA AGAPE Centre Datuk Tiong Thai King dan Presiden Persatuan Autisme Sibu David Ngu. -EDISI UKAS