Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Subis Semarakkan Syiar Islam

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SUBIS: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Subis 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, Bekenu pada Isnin menyemarakkan lagi syiar Islam dengan penyertaan seramai 12 peserta terdiri daripada enam Qari dan enam Qariah.

Majlis penangguhan rasmi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa al-Quran merupakan mukjizat agung yang kekal relevan sepanjang zaman.

“Dengan berpandukan al-Quran, kita dapat membentuk generasi Ulul Albab, umat yang maju dalam ilmu dan makmur dalam kehidupan berakhlak mulia. Semoga syiar Islam terus ditegakkan di bumi Sarawak yang kita cintai ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar memperdengarkan bacaan indah ayat suci, malah berperanan penting sebagai panduan hidup.

“Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar medan bacaan, tetapi wahana penghayatan kalam Allah. Semoga dengan penghayatan ini, kita dapat membina Ummah Maju Makmur di Daerah Subis, selaras dengan tuntutan al-Quran sebagai panduan umat,” jelasnya.

Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Subis 1447H/2025M tahun ini menyaksikan Muhammad Nazif Mohd Anis muncul sebagai johan Qari, diikuti Muhammad Najwan Halim naib johan dan Muhammad Hanif Mohamed Zamri tempat ketiga.

Manakala, kategori Qariah dimenangi Nazirah Jabri, Azah Badengah naib johan) serta Sapiah Junaidi tempat ketiga.

Penganjuran majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Daerah Subis dengan kerjasama Pejabat Daerah Subis, Pejabat Agama Islam Bahagian Miri, Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin Bekenu, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) ini menjadi wadah memperkukuh syiar Islam di peringkat akar umbi.

Selaras dengan tema sambutan perayaan Islam tahun ini, “Ummah Maju Makmur,” program berkenaan diharap dapat terus menjadi platform tahunan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Islam di daerah ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Kalam Jamaie oleh Kumpulan Soutun Najah, ulasan daripada jemaah hakim serta penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang serta peserta.-EDISI UKAS