TEGAS Anjur TFA Edisi Keempat September Ini

Disiarkan pada 19 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama pitchIN, platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) terkemuka negara, akan menganjurkan TEGAS Fundraising Accelerator (TFA) edisi keempat pada 8 hingga 11 September 2025 di TEGAS Digital Village.

Pengerusi TEGAS merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata program intensif selama empat hari itu bertujuan melengkapkan pengasas startup tempatan dengan ilmu serta strategi pembiayaan.

Menurutnya, peserta turut diberi latihan kesediaan pelabur bagi meningkatkan peluang memperoleh dana untuk mengembangkan perniagaan.

“Matlamat kami adalah melahirkan generasi usahawan berimpak tinggi Sarawak.

“Dengan bimbingan pakar serta akses terus kepada rangkaian pelabur, kami yakin startup tempatan mampu berkembang dan menembusi pasaran global.

“Memasuki tahun keempat penganjuran, TFA diyakini menjadi batu loncatan penting dalam memperkemas strategi pembiayaan selain membuka jaringan bermakna bersama pelabur dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, program berkenaan turut memberi pendedahan menyeluruh mengenai proses pembiayaan, termasuk penyediaan ‘pitch deck’ yang berkesan serta pengurusan hubungan pasca-pembiayaan dengan pelabur.-EDISI UKAS